Tuesday, August 11, 2009

Yang dikatakan jahiliyyah

jahiliyyah ini, hanya Islam sahaja jalan penyelesaiannya...


Selalu dengar perkataan jahiliyyah?

Mudahnya, memandangkan bahasa arabnya pun jahiliyyah, maka kita yang menggunakan bahasa melayu ini akan melihat perkataan ‘jahil’ sebagai maknanya. Maka, kita takrifkan jahiliyyah itu sebagai bodoh, tidak tahu, tidak maju, dan sebagainya.

Sebab tu bila ada yang menyatakan bahawa, masyarakat hari ini terperangkap dalam suasana jahiliyyah, ramai orang menafikannya.

“Eh, mana ada. Dunia sekarang dah maju, bangunan dah tinggi-tinggi, jalan sana-sini pakai kereta motor, baju pun dah kemas-kemas, belajar sampai universiti, mana ada jahiliyyah”

Benarkah takrif jahiliyyah adalah semata-mata jahil?

Saya tak rasa tak pandai matematik itu adalah satu jahiliyyah, walaupun itu satu kejahilan.

Adakah Arab Quraisy itu dahulu orang-orangnya jahil? Tidak. Mereka adalah cerdik pandai, strategis dalam peperangan, pakar dalam ilmu sastera, hebat dalam perniagaan. Tetapi, kenapa kah mereka dikatakan sebagai masyarakat jahiliyyah?

Jadi hari ini saya hendak berkongsi dengan anda, apakah yang dikatakan jahiliyyah itu, menurut Al-Quran.


Kalau kita perhatikan, lafaz ‘jahiliyyah’ adalah antara lafaz-lafaz yang digunakan oleh Allah SWT dalam firman-firmanNya di dalam Al-Quran.

Ibn Taimiyyah dalam menjelaskan makna lughawi ‘jahl’ mengatakan:

“Iaitu tidak mempunyai ilmu atau tidak mengikut ilmu. Maka orang yang tidak tahu haq, dia adalah jahil ringan. Tetapi jika dia meyakini sesuatu yang bertentangan dengan haq sebagai suatu kebenaran, dia disebut jahil berat. Demikian pula, orang yang mengamalkan sesuatu yang bertentangan dengan haq, dia tetap disebut jahil meski pun dia tahu bahawa hal itu bertentangan dengan haq.”

Tidak mempunyai ilmu itu jahil. Tidak mempunyai ilmu matematik itu jahil. Kita gunakan jahil dalam keadaan sebegini. Tetapi lafaz jahiliyyah, kita gunakan mengikut apa yang Allah gunakan dalam firman-firmanNya. Hal ini kerana, untuk lafaz jahiliyyah yang sering kita gunakan apabila kita menunjuk kepada masyarakat yang tidak mengamalkan Islam, seperti kaum Quraisy, atau mereka yang tidak mengamalkan Islam dengan sebenar, lafaz jahiliyyah ini membawa maksud: Tidak faham/tidak tahu Islam, atau pun tahu/faham Islam tetapi tidak mengamalkannya, malah ada yang menentang.

Mari kita perhatikan, jahiliyyah-jahiliyyah yang digunakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

“Dan kami seberangkan Bani Israel ke seberang lautan itu, maka setelah mereka sampai kepada suatu kaum yang tetap menyembah berhala mereka, Bani Israil berkata: Hai Musa buatlah untuk kami sebuah sembahan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa sembahan. Musa menjawab: Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.” Surah Al A’raf ayat 138.

Kata ‘jahl’ dalam ayat di atas menunjukkan tidak adanya kefahaman tentang uluhiyyah. Ini kerana mereka tidak tahu bahawa Allah Subhanahuwataala itu:

“Tidak ada sesuatu pun serupa dengan Dia.”Surah Asy-Syuaara ayat 11.

“Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata.” Surah Al-An’aam ayat 103.

“Pencipta segala sesuatu, maka sembahlah Dia dan Dia adalah pemelihara segala sesuatu.” Surah Al An’aam ayat 102.

Allah Subhanahuwataala bukan makhluk dan sifat-Nya tidak sama seperti sifat makhluk.

Sekiranya Bani Israil memahami hakikat uluhiyyah seperti di atas, maka sudah tentu mereka tidak akan bertanya atau meminta sesuatu yang membuktikan kejahilan mereka, yakni meminta dibuatkan berhala seperti penyembah-penyembah berhala.

Dalam firman-Nya yang lain pula, Allah SWt berfirman:

“Sedang segolongan lagi telah dicemaskan oleh diri mereka. Mereka menyangka yang tidak benar terhadap Allah seperti sangkaan jahiliyyah. Mereka berkata: Apakah ada bagi kita barang sesuatu (hak campur tangan) dalam urusan ini?” Surah Ali Imran ayat 154.

Golongan di atas ini telah dicela oleh Allah SWT kerana mereka mempersoalkan hakikat uluhiyyah Allah SWT, dengan tidak meyakini bahawa segala urusan di dalam dunia ini berada dalam kekuasaanNya. Mereka menyangka, pasti ada juzu’ dalam dunia ini yang tidak ditadbir oleh Allah SWT. Mereka tidak memahami bahawa, seluruh dunia ini, termasuklah yang berada di akhirat nanti adalah di dalam kekuasaan Allah SWT, dan Allah SWT tidak perlu bermesyuarat dengan makhluk untuk melakukan sesuatu dalam pentadbiran alam ini. Allah SWT berfirman:

“Katakanlah: Sesungguhnya urusan itu seluruhnya di tangan Allah.” Surah Ali Imran ayat 154.

Allah SWT berfirman: “Dan orang-orang yang tidak mengetahui berkata: Mengapa Allah tidak (langsung) berbicara dengan kami atau datang tanda-tanda kekuasaanNya kepada kami? Demikian pula orang-orang yang sebelum mereka telah mengatakan seperti ucapan itu. Hati mereka serupa. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kekuasaan Kami kepada kaum yang yakin.” Surah Al Baqarah ayat 118

Ayat di atas menunjukkan kejahilan mereka berhubung persoalan Uluhiyyah, iaitu mereka tidak tahu bahawa Allah Subhanahuwataala tidak berbicara dengan manusia melainkan melalui wahyu atau di belakang ‘tabir’ seperti dalam firmanNya:

“Dia tidak ada bagi seorang manusia pun bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan perantaraan wahyu atau di belakang tabir atau mengutuskan seorang utusan (Malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan seizinNya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana.” Surah As Syura ayat 51.

Dan jahiliyyah ini tidak pula terhenti sekadar tidak tahu/tidak faham/tidak meyakini berkenaan kekuasaan, uluhiyyah Allah SWT semata-mata. Jahiliyyah juga membawa maksud tidak tahu/tidak faham/tidak meyakini berkenaan perintah-perintah Allah SWT dalam hal-hal akhlak, ibadah dan sebagainya.

Allah SWT berfirman: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu” Al Ahzab ayat 33.

Maksud jahiliiayh dalam firman Allah SWT ini adalah berkaitan dengan akhlak yang tidak mengikuti panduan rabbani. Dlaam kata lain, akhlak ini tidak selaras dengan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Hal ini telah menjadii satu penyimpanngan dari kewajipan rasa malu dalam berpakaian, serta mempamerkan hiasan kepad ayang bukan mahram.

Nabi Yusuf ada berdoa kepada Allah SWT, selepas peristiwa Zulaikha dan para perempuan yang memotong jarinya:

“Dan jika tidak Engkau hindarkan daripada aku akan tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung (memenuhi keinginan jahat mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang jahil.” Surah Yusuf ayat 33.

Pengertian jahil dalam ayat di atas juga berkaitan dengan suluk yang tidak selaras dengan panduan Rabbani. Iaitu mengenai perbuatan serong dengan wanita dan terlibat dalam perbuatan haram. Perbuatan yang bertentangan dengan panduan Rabbani itulah yang ditakuti oleh Nabi Allah Yusuf. Kerana itu dia berlindung dengan Allah Subhanahuwataala.

Firman Allah SWT lagi: “Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliyyah.” Surah Al Fath ayat 26.

Apa yang dikatakan jahiliyyah di dalam ayat di atas ini adalah, orang-orang kafir itu telah berperang di atas kesombongan yang tertanam di dalam hati mereka. Allah SWT melarang hal ini, dan kaum muslimin jika mengangkat senjata, mestilah mengangkat senjata atas haq, bukan kerana diri sendiri, bukan kerana kesomobngan dan ta’asub. Sebab itu, anda akan mendapati kisah Saidina Ali RA yang menghentikan libasan pedangnya kepada seorang kafir yang meludahnya ketika peperangan. Orang kafir itu bertanya: “Kenapa kau tidak membunuh aku, walaupun aku sudah berada di bawah kekuasaanmu, tambahan aku telah meludahmu?”

Saidina Ali menjawab: “Aku takut aku membunuhmu bukan kerana Allah, tetapi kerana marah”

Seterusnya, firman Allah SWT lagi: “Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin.” Surah Al-Maidah ayat 50.

Ayat di atas ini juga ada mempunyai kalimah jahiliyyah di dalamnya. Ayat ini berkenaan pemerintahan, mengambil hukum. Kalau kita perhatikan di dalam ayat ini, sekiranya kita ini mengambil hukum selain hukum Allah, maka itu dinamakan mengambil hukum jahiliyyah. Walaupun kita mengambil hukum-hukum itu dari logik akal yang advance, daripada cerdik pandai, daripada negara maju seperti barat dan sebagainya. Maka, masyarakat yang mengambil hukum selain hukum Allah, itu adalah masyarakat jahiliyyah.

Allah SWT berfirman: “Barangsiapa tidak menutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” Surah Al-Maidah ayat 47.

“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, mereka itu penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.” Surah Al-A’raaf ayat 36.

Begitulah sebenarnya apa yang dikatakan jahiliyyah. Mudah ceritanya, apa sahaja yanng bertentangan dengan tuntutan Allah SWT, dan berlainan pula dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, maka itu adalah jahiliyyah.

Kita, perlu membenci jahiliyyah ini dari dalam hati kita. Tanpa kebencian kepada jahiliyyah ini, maka kita sukar untuk merengkuhnya dari kehidupan kita. Sama-sama kita perhatikan, maka kita akan lihat bahawa, pasti ada salah satu dari jahiliyyah-jahiliyyah ini yang masih melekat pada kita. Justeru, kita perlu cabut jahiliyyah ini dari kehidupan kita.

Kita benci jahiliyyah ini sebenci-bencinya. Kita rasa jijik dengan jahiliyyah ini. Tetapi, kita tidak pula benci dan jijik dengan orang yang terperangkap dengan jahiliyyah. Yang kita benci adalah jahiliyyah pada orang/masyarakat itu. Sebab itulah, kita berusaha bersungguh-sungguh merengkuh jahiliyyah yang ada pada orang/masyarakat itu.

Ubat dan penawar untuk jahiliyyah ini hanya satu, yakni pulang kepada Allah dan mengikuti ajaran rasul-Nya.

Sama-sama kita berusaha, untuk membersihkan jahiliyyah dari kehidupan kita, dan kehidupan masyarakat sekeliling kita!


p/s:copy and paste dari http://ms.langitilahi.com/bahan/

No comments:

Post a Comment